RSS

Senarai Lagu

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Halaman Gambar Menarik, Pelik, Artis Panas & Macam-Macam Lagi!


Pendaki Solo galak pelajar aktif kokurikulum

Posted: 15 Aug 2011 11:27 PM PDT


Sebahagian pelajar mengambil peluang untuk bergambar kenangan dengan Mohd Noor Mat Amin (empat dari kiri) dan Tiara Jacquelina selepas majlis perasmian Hari Kokurikulum SMK Seksyen 4, Kota Damansara, Selangor, baru-baru ini.


PENDAKI Solo Negara yang juga jurugambar Utusan Malaysia, Mohd. Noor Mat Amin berkongsi pengalaman mengenai kejayaan mencipta rekod dunia mendaki gunung Kinabalu sebanyak 111 kali dalam tempoh 111 hari kepada 1,500 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 4, Kota Damansara, baru-baru ini.

Beliau memberi suntikan semangat kepada pelajar supaya berdedikasi menghadapi cabaran dan rintangan untuk mencapai kejayaan.

Pada masa yang sama, Mohd. Noor turut menyarankan kepada pelajar agar menyedari bertapa pentingnya kegiatan kokurikulum di sekolah dan ia tidak harus diabaikan.

"Ibu bapa dan guru-guru harus berganding bahu untuk melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek supaya dapat melahirkan modal insan holistik di samping menggalakkan para pelajar aktif dalam aktiviti kokurikulum.

"Usaha murni Kementerian pelajaran dalam program satu murid satu sukan juga dilihat sebagai langkah yang positif untuk menggalakkan pelajar terlibat secara aktif dalam kegiatan kokurikulum," katanya.

Selain itu, ujarnya, penglibatan pelajar dalam pelbagai kegiatan kokurikulum juga dapat mengisi masa lapang dan boleh membendung kegiatan yang tidak bermoral.

Aktiviti lain turut diadakan seperti pertandingan karom, basikal lambat, bola tampar, bola keranjang, sumpit dan memasak.

Turut memberi suntikan semangat kepada pelajar pada majlis itu ialah artis popular, Datin Seri Tiara Jacquelina.

Mental Arithmetic asah minda kreatif

Posted: 15 Aug 2011 11:25 PM PDT


Kanak-kanak genius dari China menunjukkan bakat mereka dalam teknik mengira menggunakan kaedah Abacus Mental Arithmetic di Universiti Malaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KAEDAH Abacus Mental Arithmetic (AMA) kini semakin luas penggunaannya di China kerana keberkesanan dalam melahirkan pelajar yang berfikiran kreatif dan kanak-kanak genius.

Kaedah AMA mampu membantu dalam mentransformasikan bidang pendidikan negara ini dengan melahirkan generasi yang mempunyai daya pemikiran tinggi tanpa kebergantungan yang kuat terhadap teknologi khususnya mesin pengira elektronik.

Justeru, Pusat Pembangunan Usahawan Siswazah Malaysia (PUSMAL), melalui Bengkel Niaga Ala-Cina (BENA) mengadakan demonstrasi keupayaan kaedah AMA di Universiti Malaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pengarah Program, Clive Einstein Naga berkata, bengkel yang dikendalikan Profesor Xu Si Zhong bersama 13 muridnya dari China itu bertujuan memberi kesedaran dan maklumat tentang kepentingan penggunaan AMA dalam memberi rangsangan secara langsung terhadap penggunaan otak kanan dan kiri.

"Program ini tertumpu kepada kanak-kanak seawal usia empat hingga lapan tahun yang mana mindanya masih berkembang dengan cepat terhadap rangsangan terutama melalui AMA.

"Malah, penggunaan kedua-dua bahagian otak yang dirangsang secara serentak mampu melahirkan modal insan berfikiran kelas pertama pada usia yang sangat muda," jelasnya.

Menurut beliau, Profesor Xu Si Zhong yang merupakan pengasas kaedah pembelajaran ini telah diisytiharkan sebagai satu daripada 100 aset negara China yang sangat berharga terutama dalam bidang pendidikan.

"Buku teks beliau kini telah diluluskan oleh Kementerian Pelajaran China untuk digunakan oleh kanak-kanak prasekolah, tahun satu dan tahun dua di peringkat sekolah rendah di seluruh negara China," ujarnya.

Tambah beliau lagi, program AMA ini telah diasaskan sejak 30 tahun dahulu dan Profesor Xu Si Zhong merupakan salah seorang fasilitator BENA yang dibarisi oleh pelajar-pelajar dan graduan beberapa universiti tempatan.

"Buku Teks AMA dalam bahasa Malaysia (BM) sedang dalam perancangan untuk diterjemahkan bagi kegunaan kanak-kanak di negara kita dan ia dikendalikan oleh pihak Profesor Xu Si Zhong dengan kerjasama PUSMAL dan BENA di Universiti Malaya.

"Selepas buku teks tersebut siap, pihak PUSMAL – BENA akan melatih pengusaha tadika, guru sekolah rendah dan pusat-pusat berkenaan untuk menjalankan kursus AMA di seluruh Malaysia," terangnya.

Teruja berbuka puasa bersama PM

Posted: 15 Aug 2011 11:25 PM PDT


SEBAHAGIAN daripada pemimpin pelajar bersama Najib Tun Razak dan Khaled Nordin di majlis berbuka puasa di Seri Perdana, Putrajaya baru-baru ini.


SETIAP kali ketibaan bulan Ramadan pastinya ia disambut dengan gembira oleh warga pelajar bersama dengan rakan-rakan dan pihak universiti.

Lazimnya di universiti banyak program berbuka puasa dianjurkan dalam memenuhi keadaan pelajar yang berjauhan daripada keluarga untuk mengurangkan kesayuan masing-masing.

Sikap prihatin dan penyayang pentadbiran universiti berjaya menjadikan sambutan Ramadan meriah dan sempurna dengan pelbagai program serta aktiviti yang dianjurkan.

Ia berjaya mengubati kerinduan para pelajar terhadap keluarga tersayang.

Baru-baru ini, sebahagian daripada pemimpin pelajar bertuah apabila berkesempatan berbuka puasa bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan beberapa tokoh akademik universiti terkemuka tanah air di Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya.

Majlis itu turut dihadiri isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Mohd. Hafiz Ariffin berkata, kesudian Perdana Menteri meluangkan masa berbuka puasa bersama dengan wakil kepimpinan pelajar dari seluruh negara menunjukkan sifat keprihatinan dan ambil berat beliau terhadap golongan muda dan pelapis pemimpin masa depan negara.

"Suntikan dan semangat Perdana Menteri sempena bulan Ramadan yang mulia ini bakal melakarkan inspirasi kepada kepimpinan mahasiswa negara dalam memacu kecemerlangan Malaysia ke arah melahirkan mahasiswa berkemahiran tinggi dan berdaya saing.

"Majlis ini memberi mesej yang jelas bahawa Perdana Menteri mahukan mahasiswa menjadi tonggak dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mengekalkan keharmonian dan keamanan sejagat," katanya.

Seramai 2,000 pemimpin pelajar mewakili 38 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dalam negara dan 30 wakil pelajar dari universiti antarabangsa diraikan pada majlis berbuka puasa tersebut.

Menurut Mohd Hafiz, peluang menghadiri majlis berbuka puasa di Sri Perdana sedikit sebanyak mengeratkan hubungan antara rakan-rakan kepimpinan mahasiswa universiti lain dalam konteks idea memperkasa pendidikan tinggi negara.

"Sinonim dengan apa yang disampaikan Perdana Menteri iaitu untuk menggerak usaha generasi memperkasakan generasi muda dalam memberikan asas dan peluang kepada mereka menyumbang kepada pembangunan negara.

Ketuk-ketuk bangun bersahur

Posted: 15 Aug 2011 11:24 PM PDT


BAHARIM Samuri (kanan) menyampaikan juadah bersahur kepada mahasiswa sempena program Ketuk-Ketuk Ramadan di UiTM, Lendu Melaka, baru-baru ini.


SAAT yang paling bahagia di bulan Ramadan ialah ketika menikmati waktu berbuka dan bersahur bersama keluarga tersayang mahupun teman-teman rapat.

Sesungguhnya Ramadan merupakan bulan yang dinanti-nantikan kedatangannya oleh umat Islam di seluruh dunia.

Inilah peluang keemasan mereka menggandakan amalan bukan sahaja dalam konteks berpuasa malah pelbagai amal ibadat lain yang dijanjikan Allah ganjaran berlipat kali ganda.

Tidak hairanlah kedatangan Ramadan membawa seribu satu makna kepada seluruh umat Islam yang menyambut kedatangan bulan yang mulia ini.

Begitu juga bagi mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka yang mana kedatangan Ramadan adalah saat yang dinanti-nantikan oleh mereka.

Selain beramal ibadat dengan puasa dan solat tarawih, pelajar juga menantikan kehadiran kumpulan Warga Unit Pentadbiran Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEP) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang mengedarkan makanan bersahur sekitar pukul 2 hingga 4 pagi sempena program Ketuk-Ketuk Ramadan sepanjang bulan yang mulia ini.

Pengedaran makanan itu diadakan di sekitar luar kampus UiTM yang diketuai Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UiTM Melaka, Baharim Samuri.

Yang Dipertua MPP UiTM Melaka, Muhammad Alfi Arif berkata, program itu mampu merapatkan semangat persaudaraan barisan MPP dengan para mahasiswa.

Menurut beliau, sebanyak 300 bungkus makanan dan minuman setiap hari diedarkan kepada mahasiswa yang tinggal di luar universiti.

"Peranan yang dimainkan MPP dalam menjaga kebajikan para mahasiswa di dalam dan di luar kampus amat dihargai lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan.

"Ketuk-Ketuk Ramadan sebegini merupakan salah satu program khidmat bakti yang sewajarnya diteruskan dari semasa ke semasa," katanya.

Sementara itu, Pengarah Program yang juga Exco Perhubungan Dalaman, Luar dan Antarabangsa, Kampus dan Alumni, Syed Mohd Amirul Syed Abdul Basek berkata, program itu dapat meringankan beban mahasiswa yang menetap di luar kampus.

"Kita sedia maklum bahawa mahasiswa yang menetap diluar kampus, perlu membayar sewa rumah, bil elektrik dan air, kos sara diri, dan pelbagai lagi. Lantas program sebegini mampu meringankan beban mereka.

"Ia juga bertepatan sempena bulan Ramadan dengan saranan serta sunnah Nabi Muhammad S.A.W supaya umatnya memperbanyakkan ibadah, bersedekah dan membuat amal jariah sepanjang bulan yang mulia ini," katanya.

PlayStation pada telefon bimbit Xperia

Posted: 15 Aug 2011 11:23 PM PDT


SONY Ericsson terus mengukuhkan rangkaian model Xperia menerusi model PLAY ketika dilancarkan di Sepang baru-baru ini.


BUAT julung-julung kalinya di Malaysia, Sony Ericsson memperkenalkan telefon bimbit pintar dengan aplikasi PlayStation pertama di dunia, Xperia PLAY.

Kombinasi gajet telekomunikasi bersama fungsi permainan video konsol popular, PlayStation itu bakal melengkapkan penjenamaan Xperia sebagai peranti telefon bimbit pintar hiburan terbaik.

Menurut Pengurus Besar Sony Ericsson Singapura dan Malaysia, Peter Ang, kehadiran model itu dilihat mampu menyempurnakan misi Sony Ericsson memenuhi keperluan hiburan pengguna di negara ini.

''Kami percaya, ramai penggemar gajet di negara ini sudah lama menantikan kehadiran model telefon bimbit yang mengintegrasi pelbagai fungsi seperti permainan video, aplikasi, pelayaran web dan laman sembang.

''Jadi, sudah tiba masanya untuk mereka menikmati kesemua pengalaman itu secara lebih menarik dan berkualiti,'' jelasnya pada majlis pengenalan model Xperia PLAY di Litar F1 Sepang, Selangor baru-baru ini.

Xperia PLAY disokong oleh pacuan sistem operasi Andoroid 2.3 (Gingerbread) dengan pemproses Scorpion ARMv7 1GHz.

Melengkapkan keunikannya, ia hadir bersama skrin sentuh pintar pelbagai fungsi bersaiz empat inci untuk memberi keselesaan paparan dan kemudahan kawalan fungsi.

Bagi membawa pengguna mengalami dunia permainan video lebih nyata, model itu dilengkapi panel kawalan gelongsor tepi eksklusif menyerupai alat kawalan jauh pada sebuah PlayStation.

Ia merangkumi dua butang digital dan analog, dua butang tepi serta empat butang ikon Playstation iaitu pangkah, empat segi, tiga segi dan bulat.

Apa yang menarik, peranti berkenaan membenarkan pelaksanaan aktiviti permainan video secara beramai-ramai (multiplayer) dalam masa nyata.

Untuk mengoptimumkan operasi permainan videonya pula, Xperia PLAY disokong oleh pemproses grafik Andreno GPU yang dapat memberi kesan visual tiga dimensi (3D) selain gerakan video lancar 60 bingkai sesaat (fps).

Tidak cukup dengan itu, teknologi tersebut juga berupaya meminimumkan penggunaan kuasa agar jangka hayat bateri dapat bertahan lebih lama.

Daripada segi kandungan, Xperia PLAY tersedia bersama beberapa aplikasi permainan yang dibangunkan oleh syarikat-syarikat penggiat industri terkenal.

Antaranya adalah seperti Sony Computer Entertainment, Gameloft, Electronics Arts dan Glu Mobile.

Melihat dari sudut spesifikasi multimedia, Xperia PLAY disempurnakan bersama kamera 5.1 megapiksel, rakaman video, pembesar suara stereo, permainan video bergerak (motion), sokongan kad memori microSD sehingga 32 gigabit (GB) dan akses platform Android Market.

Dengan pilihan warna hitam dan putih, ia ditawarkan pada harga pasaran RM1,649.

Telefon pintar setara komputer

Posted: 15 Aug 2011 11:22 PM PDT


ATRIx, lebih nipis ,bergaya serta memiliki kepelbagaian aplikasi.


MOTOROLA baru-baru ini mempemperkenalkan telefon pintar generasi baru keluarannya, ATRIX, sejajar dengan hasratnya ingin bersaing dalam pasaran telefon bimbit terkini.

ATRIX yang dijana dengan kuasa sistem pemproses Android berfungsi seolah-olah sebuah komputer kecil yang boleh dimuatkan dalam poket anda.

Dengan aplikasinya yang setara dengan sebuah komputer, pastinya ATRIX mampu membawa penggunanya ke arah penggunaan telefon bimbit dengan cara yang lebih versatil, mudah serta pantas.

Malah, ATRIX juga berjaya menggondol anugerah Telefon Pintar Terbaik di Pameran Elektronik Pengguna (CES) 2011 di Las Vegas, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Menggunakan platform Android 2.2, ia mampu mengoperasikan aplikasi penuh Mozilla Firefox 3.6 dan menyokong aplikasi Adobe Flash Player untuk memaparkan video, grafik dan animasi yang terdapat didalam web tersebut.

Sistem operasi Android 2.2 yang digunakan juga membolehkan anda melayari lebih 200,000 aplikasi di Android Market melalui ATRIX.

Menurut Ketua Pengarah Pemasaran Asia Tenggara, Robert Van Tillburg, ATRIX merupakan satu revolusi dalam penggunaan komputer dan telefon pintar.

"Pengguna telefon pintar di Malaysia dilihat semakin meningkat dan menjadikan gajet tersebut sebagai hub utama dalam setiap kegiatan digital mereka.

"ATRIX memudahkan serta meningkatkan kebolehan penggunanya untuk terus berada di talian sama biarpun mereka berada di tempat kerja, rumah mahu pun dalam perjalanan ke mana-mana," ujarnya.

Sebagai sebuah hub aktiviti digital yang utama kepada penggunanya, ATRIX dibantu oleh aplikasi Motorola Webtob.

Aplikasi Webtob membolehkan pemilik ATRIX melayari Windows dan membuka mana-mana laman web kegemaran menerusi Firefox, mengedit dokumen, menghantar khidmat pesanan ringkas serta membuat panggilan serentak pada masa yang sama.

Selain itu, ATRIX turut menawarkan aksesori tambahan iaitu Motorola HD Multimedia Dock dan Motorola Lapdock bersama skrin yang lebih luas, paparan papan kekunci dan pad pengesan.

Motorola HD Multimedia Dock dilengkapi tiga port penyambungan USB dan port HDMI untuk menyambungkan papan kekunci, tetikus, pembesar suara dan monitor HDMI untuk kegunaan di pejabat mahupun di rumah.

Ia juga boleh disambungkan kepada televisyen HDMI dan set teater rumah untuk kepuasan maksimum semasa mendengar muzik serta menonton video.

Manakala Motorola Lapdock dilengkapi skrin seluas 11.6 inci, papan kekunci, pad pengesan, pembesar suara stereo dan 36Wh sel bateri yang mampu bertahan selama lapan jam.

Ia juga dilengkapi pemproses dual, 1GHz yang menjadikan layaran di web, video HD dan bermain permainan video dengan lebih pantas.

RAM bagi telefon ini juga dipertingkatkan sehingga 1 GB yang mana merupakan dua kali ganda saiz RAM yang diperuntukan dalam mana-mana telefon pintar yang sedia ada.

ATRIX turut dilengkapi skrin qHD beresolusi tinggi sehingga 24 bit warna dan ia merupakan pertama di dunia yang digunakan pada telefon pintar.

QHD menjadikan paparan lebih mudah dibaca sama ada berada di dalam mahupun di luar rumah.

Seterusnya, bateri yang lebih nipis tetapi mampu bertahan lama serta dua kamera di hadapan dan belakang untuk merakam dalam format HD.

Untuk keselamatan yang berganda, ATRIX turut dilengkapi kod pengenalan cap jari serta saiz penyimpanan yang besar iaitu sehingga 48 GB.

Dengan saiz simpanan yang besar tersebut, ATRIX mampu menyimpan beribu lagu, gambar serta video.

Motorola ATRIX kini boleh didapati di mana-mana kedai yang menjual produk Motorola pada kadar harga RM1999.

Untuk maklumat lanjut berkenaan harganya anda boleh melayari laman web pengedarnya iaitu Brightstar Distribution di www.brightstarcorp.com.my.

Atau untuk mengenali ATRIX dengan lebih terperinci anda boleh melayari laman web Motorola di www.motorola.com.my.

Tutup akaun Facebook dalam telefon bimbit

Posted: 15 Aug 2011 11:21 PM PDT

BAGAIMANA cara untuk menutup akaun Facebook dalam telefon bimbit kerana setakat ini ia tiada berfungsi apa-apa pun pada saya?

Untuk makluman, tiap-tiap minggu nombor 32665 telah menghantar mesej untuk update expire dan tiap kali dihantar pasti dikenakan bayaran RM1.

MOHD RUSLI DERAMAN, Terengganu.

Terima kasih kembali di atas soalan tersebut. Ada beberapa cara untuk menghentikan perkhidmatan Facebook menggunakan telefon bimbit ini.

Kaedah pertama menggunakan kembali sistem pesanan ringkas atau SMS. Taipkan perkataan OFF pada telefon bimbit anda dan hantar mesej tersebut ke nombor 32665 tersebut.

Seterusnya, pihak Facebook akan menghantar mesej kembali ke telefon bimbit tersebut bagi status perkhidmatan Facebook anda di telefon bimbit telah ditamatkan atau OFF.

Bagi melihat kembali konfigurasi penggunaan SMS ini dalam perkhidmatan Facebook, sila ke alamat URL yang berikut:-

http://www.facebook.com/mobile/?texts

Pastikan anda pergi ke laman web Facebook. Seterusnya masukan login dan kata laluan bagi akaun Facebook. Setelah berjaya masuk ke akaun Facebook tersebut, pergi ke menu Account Setting.

Dalam menu Account Setting, pergi ke tab Mobile. Seterusnya, ubah konfigurasi telefon bimbit anda kepada OFF. Selain daripada itu, nombor telefon tersebut juga boleh dibuang terus daripada ruangan konfigurasi dengan menekan butang REMOVE di tepi nombor telefon tersebut.

Bagi melihat konfigurasi telefon bimbit dalam akaun Facebook, sila ke alamat URL yang berikut:-

http://www.facebook.com/mobile/?settings

Sekiranya tidak berjaya, boleh menutup terus akaun Facebook tersebut seperti yang telah dibincangkan dalam ruangan ini atau hubungi pihak Facebook dengan menyatakan masalah yang dihadapi dengan akaun Facebook.

Bayar zakat guna SMS

Posted: 15 Aug 2011 11:20 PM PDT


Membayar zakat menggunakan sistem SMS kini sudah semakin popular. - Gambar hiasan


PELANGGAN beragama Islam Maxis Berhad (Maxis), di Selangor, Melaka, Sabah, Kedah, Perlis, Pahang dan Terengganu akan menikmati kemudahan untuk membayar zakat fitrah menerusi sistem pesanan ringkas (SMS hasil perkhidmatan mZakat yang ditawarkan syarikat terbabit

Dengan perkhidmatan mZakat, pelanggan boleh memenuhi tuntutan agama mereka pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Perkhidmatan mZakat Maxis terbuka kepada pelanggan prabayar dan juga pascabayar.

Jumlah pembayaran zakat fitrah akan dicaj kepada bil telefon para pelanggan pascabayar atau ditolak dari baki prabayar pelanggan.

Perkhidmatan berkenaan amat mudah untuk digunakan.

Pelanggan boleh membuat pembayaran dengan hanya menaip "FITRAH (nama negeri)" dan menghantar SMS tersebut kepada 22032.

Mereka kemudian perlu membekalkan maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan dan bilangan orang yang zakat fitrahnya ditanggung

Selepas itu, mereka akan menerima SMS mengenai jumlah yang perlu dibayar yang mana jumlahnya perlu disahkan sebelum sebarang caj boleh dikenakan kepada pengguna.

Kesemua SMS yang dihantar mahupun diterima oleh pelanggan Maxis untuk perkhidmatan mZakat ini adalah percuma dan tidak dikenakan caj.

Tambahan lagi, perkhidmatan pencetakan resit secara dalam talian juga boleh didapati daripada portal Maxis, supaya pelanggan boleh mencetak resit untuk melakukan tuntutan rebat cukai.

Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Perniagaan Maxis, Fitri Abdullah berkata, pihaknya gembira dapat menawarkan kemudahan tersebut kepada pelanggan beragama Islam

''Ini merupakan suatu penyelesaian yang efektif kepada masalah ketiadaan masa untuk melawat kaunter-kaunter zakat fitrah atau kepada sesiapa yang ingin membuat pembayaran pada saat-saat terakhir.

''Ia juga amat berguna kepada golongan yang mengalami kesukaran untuk ke kaunter-kaunter zakat kerana komitmen kerja, dan juga golongan komuniti kurang upaya. ,'' kata beliau.

Malah kata , keseluruhan proses transaksi pembayaran ini mengambil masa kurang lima minit.

Dalam pada itu , Maxis pada tahun ini telah bekerjasama dengan Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLM Takaful) bagi menawarkan pelanggan ketenangan minda melalui perlindungan insurans Islam tambahan (takaful) bernilai RM2,000 untuk segala kandungan rumah mereka bermula 1 Ogos hingga 16 September.

Untuk hanya RM2 sebulan, pelanggan dilindungi sehingga sebanyak RM70,000 untuk kematian tidak sengaja / kecacatan kekal, dan juga untuk RM2,000 faedah takaful tambahan yang meliputi perlindungan kandungan-kandungan rumah.

Pelanggan boleh menyertai program ini dengan hanya menghantar SMS beserta kata kunci "BUY TAKAFUL" kepada 27007.

Di samping perlindungan terhadap kematian tidak sengaja atau kecacatan kekal dan isi kandungan rumah, peserta beragama Islam juga boleh menikmati perkhidmatan "Haji Secara Perwakilan" (Badal Haji) dari HLM Takaful atau perwakilan mengerjakan haji kepada pihak yang sah.

Pilihan ini merupakan sebahagian daripada perlindungan kematian tidak sengaja dan kecacatan kekal.

Perkhidmatan "Haji Secara Perwakilan" ini diurus dan dikendalikan oleh TH Travel & Services, sebuah subsidiari milikan penuh Lembaga Tabung Haji.

Sempena Ramadan ini, Maxis amat berbesar hati untuk menawarkan Hotlink Ramadan Hot Tickets yang diubahsuai yang menawarkan lebih banyak nilai agar para pelanggannya dapat menghubungi orang yang tersayang, sama ada berdekatan mahupun berjauhan.

Mereka juga dapat menikmati ayam goreng KFC secara percuma dari kami semasa mereka berbuka puasa.

Maxis juga kata Fitri terus menjadi sebahagian dari perjalanan pelanggannya sepanjang Ramadan menerusi kandungan mudah alih yang telah direka khas untuk membantu mereka mengakses maklumat-maklumat relevan seperti waktu menunaikan solat dan juga waktu bermula dan berbuka puasa.

''Perkhidmatan-perkhidmatan mudah alih bercorak keislaman kini semakin popular di kalangan pelanggan beragama Islam dan kami telah menyaksikan peningkatan terhadap penggunaannya.

''Kami gembira untuk menawarkan kepada para pelanggan satu variasi perkhidmatan yang baru ini, bagi memastikan satu pengalaman yang lebih bermakna pada Ramadan ini,'' ujarnya..

Para pelanggan Maxis juga boleh mengakses laman WAP mikro yang unik bernama Ramadan di portal WAP Maxis untuk melanggan atau memuat turun kandungan-kandungan Ramadan ke dalam peranti mudah alih mereka.

Laman WAP Ramadan itu menawarkan pelbagai kandungan mudah alih seperti SMS ALERTS untuk waktu berbuka puasa (waktu berbuka puasa dan waktu Imsak boleh didapati secara percuma), fadilat Ramadan (tazkirah harian untuk renungan sewaktu Ramadan) dan waktu-waktu menunaikan solat.

Mereka juga boleh melanggan perkhidmatan MMS ALERTS seperti Santapan Rohani (ayat-ayat al-Quran dan solat dihantar setiap hari) atau zikir (pembacaan Zikir kontemporari melalui MMS).

Sebagai tambahan, wallpapers, nada dering true tunes dan ucapan-ucapan MMS juga boleh diperoleh secara percuma.

Para pelanggan Maxis dan Hotlink boleh mengakses laman WAP Ramadan ini dengan hanya menaip 'GET RA' pada telefon bimbit mereka dan menghantar kepada 26000.

Satu pautan ke laman WAP Ramadan kemudian akan dihantar kepada telefon bimbit mereka dan pelanggan hanya perlu klik pada pautan tersebut bagi mengakses portal WAP Ramadan.

Perisian bantu pesakit disleksia

Posted: 15 Aug 2011 11:19 PM PDT


Dr. Vijayaletchumy Subramaniam menunjukkan pek pembelajaran Phonics Tutor Software untuk pelajar disleksia visual.


KANAK-KANAK disleksia biasanya sukar membezakan huruf yang mempunyai bentuk yang hampir sama misalnya b dan d, c dan e, u dan n serta m dan w.

Disleksia adalah sejenis masalah pembelajaran khusus iaitu masalah asasnya adalah perbezaan cara otak berfungsi dalam menghubungkan simbol visual melalui bunyi.

Selain itu, penghidap disleksia mengalami kesukaran membaca, menulis, memahami, mengeja dan mengira.

Kekurangan itu menyebabkan prestasi kanak-kanak disleksia menurun tanpa perhatian yang sewajarnya.

Justeru bagi mengatasi masalah pembelajaran di kalangan kanak-kanak disleksia, tiga penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menghasilkan perisian baharu berbentuk cakera padat.

Perisian yang dinamakan Phonics Tutor Software amat sesuai digunakan untuk kanak-kanak yang menghidapi disleksia visual.

Ketua penyelidiknya yang juga pensyarah dan penyelidik di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM Prof. Madya Dr. Vijayaletchumy Subramaniam berkata, penemuan teknologi berkenaan diharap membantu kanak-kanak disleksia visual menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira (3M).

Beliau berkata perisian itu menggunakan enam kaedah mengeja berteraskan Orton-Gillingham Phonogram serta membantu mereka mencungkil kebolehan dalam aspek berbeza.

"Produk yang dianggarkan berharga RM250 di pasaran kelak menekankan aspek bacaan bahasa Melayu berteraskan Teori Levinson yang sesuai untuk murid disleksia berumur empat hingga sembilan tahun.

"Ini sesuai dengan suasana pembelajaran di Malaysia yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar berbanding produk disleksia lain yang menggunakan bahasa Inggeris," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar Putra Cipta UPM anjuran Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) dan Pejabat Pemasaran dan Komunikasi (MarComm) di Serdang baru-baru ini.

Beliau berkata, produk direka khusus untuk murid-murid pemulihan yang mengalami masalah pembelajaran spesifik disleksia dalam proses pembelajaran bahasa Melayu.

Sebelum ini hampir semua produk pembelajaran bagi disleksia adalah dalam Bahasa Inggeris selain harganya yang agak mahal.

"Kaedah ini boleh dimanfaatkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Khas, Pusat Perkembangan Kurikulum, guru dan ibu bapa untuk menangani masalah bacaan bahasa Melayu pada golongan terbabit," katanya.

Hasil kajian yang dijalankan selama tiga tahun itu dibiayai oleh Geran Penyelidikan UPM dan telah difail paten.

Beliau dibantu oleh dua penyelidik lain iaitu pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Prof. Madya Dr. Noor Aina Dani dan pelajar tahun akhir Jabatan Bahasa Melayu, UPM Wan Muna Ruzanna Wan Mohammad.

Kelebihan produk

l Direka untuk kepentingan murid-murid pemulihan yang mengalami masalah pembelajaran spesifik disleksia dalam proses pembelajaran Bahasa Melayu

l Sumber pembelajaran yang menyeronokkan murid-murid disleksia jika dibandingkan dengan bahan bacaan Bahasa Melayu berbentuk buku dengan jenis pilihan yang terbatas

l Pengajaran guru pendidikan khas akan bertambah mudah bagi menangani masalah pembelajaran serta keperluan pendidikan bagi kanak-kanak yang mengalami masalah disleksia

Hasil program ini dapat dimanfaatkan oleh Kementerian Pelajaran, guru-guru dan ibu bapa bagi mengatasi masalah bacaan Bahasa Melayu justeru menggelakkan murid-murid daripada menghadapi masalah disleksia dengan lebih serius.

Cabaran memulihara taman laut

Posted: 15 Aug 2011 11:18 PM PDT


Douglas Uggah Embas memotong reben menandakan bemulanya perkhidmatan KTL 1 Pertama dalam usaha melindungi kawasan taman laut sekitar Malaysia.


DI dalam kegelapan malam, sebuah kapal peronda yang dikenali sebagai Kapal Taman Laut (KTL) 1 PERMATA milik Jabatan Taman Laut (JTLM) bergerak laju membelah lautan di sekitar Pulau Tioman, Pahang.

Diiringi dua buah bot peronda laju Taman Laut (PTL), PTL 1 dan PTL 4 yang lebih kecil, mata setiap penguasa meliar memerhatikan keadaan laut yang sedikit bergelora.

Hampir setengah jam menyusur sekitar pesisir pulau, dua kerlipan lampu berwarna merah dikesan dari kejauhan.

Kuasa tujahan kapal ditingkatkan membawa badan kapal laju membelah lautan dalam kegelapan malam menuju kerlipan cahaya tersebut.

Sesekali terdengar arahan dikeluarkan oleh komander kapal KTL 1 berpangkat Pegawai Memerintah Atas Kapal, Mohd. Asri Awalluddin kepada petugas yang berada dalam bot peronda laju untuk menyiasat punca cahaya.

Sejurus mendekati kerlipan cahaya tersebut, lampu limpah dipasang dan terus menyuluh kawasan kerlipan cahaya yang disyaki merupakan bot penceroboh.

Tidak semena-mena kerlipan tersebut hilang dan terdengar deruan enjin bot bergerak laju, tergesa-gesa meninggalkan kawasan tersebut.

Dua bot peronda laju pantas mengejar untuk memintas namun salah sebuah bot tersebut tersangkut pada jaring yang dipasang, penceroboh berjaya meloloskan diri kali ini.

Itu merupakan antara situasi yang di alami sendiri oleh rombongan media ketika menyertai operasi meronda dan menangkap penceroboh di Taman Laut Pulau Tioman bersama Penguasa Taman Laut.

Aktiviti meronda bersama media tersebut diadakan sempena Program Taman Laut Bersama Media di Pusat Taman Laut, Pulau Tioman, Pahang baru-baru ini.

Biar pun kawasan Taman Laut merupakan kawasan larangan bagi sebarang aktiviti tangkapan hidupan laut, namun segelintir penceroboh masih berdegil dan tetap meneruskan aktiviti tersebut.

Menurut Ketua Pengarah JTLM, Dr. Sukarno Wagiman, kawasan Taman Laut sememangnya kaya dengan hidupan marin kerana ia dilindungi sepenuhnya daripada sebarang aktiviti penangkapan.

Jelas Dr. Sukarno lagi, pada tahun lepas sahaja pihak penguatkuasa JTLM telah membuat tangkapan sebanyak 47 kes melibatkan pelbagai jenis kesalahan.

"Biarpun tahun 2010 menunjukkan sedikit penurunan sebanyak 25 kes namun ia sukar untuk dihapuskan secara keseluruhannya," ujar beliau.

Tambahnya, hukuman yang lebih tegas seperti didakwa di mahkamah, menaikan kadar kompaun dan denda telah memberi kesedaran kepada nelayan daripada menceroboh.

Pada tahun ini pula dicatatkan 14 kes pencerobohan di mana tujuh kes di Pahang, satu kes di Johor, lima kes di Kedah dan satu kes di Terengganu.

Selain nelayan tempatan, terdapat juga nelayan asing melakukan aktiviti memungut gamat serta melakukan aktiviti menangkap ikan di sekitar taman laut di negara ini.

JTLM turut mengesan aktiviti nelayan asing di sekitar Pulau Yu Kecil dan Lang Tengah, Terengganu.

Jelas Dr, Sukarno, Taman Laut ditubuhkan untuk melindungi dan memulihara pelbagai habitat dan hidupan marin akuatik.

"Taman Laut adalah kawasan perairan laut yang dizonkan sejauh dua batu nautika dari tikas air surut terendah.

"Kecuali Pulau Kapas di Terengganu, Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Besar dan Pulau Rusukan Kecil di Labuan yang dizonkan sejauh satu batu nautika dari tikas air surut terendah," ujarnya.

Terbaru, dalam meningkatkan penguatkuasaan bagi mengelakkan kes pencerobohan semakin meningkat JLTM telah dianugerahkan sebuah kapal peronda.

Kapal sepanjang 18 meter dan berkelajuan 34 knot tersebut telah dibina dengan kos RM7.5 juta bawah Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9).

Kapal yang dikenali sebagai Kapal Taman Laut (KTL) 1 PERMATA akan digunakan bagi aktiviti pemantauan serta penguatkuasaan di kawasan perairan Taman Laut di Pahang, Johor dan Terengganu.

Pada ketika ini kekuatan anggota penguatkuasaan JLTM adalah seramai 138 orang dengan jumlah bot sebanyak 22 buah.

Bot yang sedia ada iaitu bot peronda laju kurang sesuai untuk digunakan semasa musim tengkujuh iaitu pada bulan November hingga Januari kerana laut bergelora.

Kapal Taman Laut (KTL) 1 PERMATA memiliki saiz yang lebih besar mampu meningkatkan keupayaan JTLM untuk menjalankan aktiviti penguatkuasaan semasa musim tengkujuh.

Kapal tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Uggah Embas pada majlis perasmian di Pusat Taman Laut, Pulau Tioman baru-baru ini.

Selain bergerak sendiri, JTLM turut mendapatkan kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain seperti Jabatan Laut, Jabatan Perikanan, Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

‘Gajet’ bercucuk tanam UPM

Posted: 15 Aug 2011 11:17 PM PDT


Nur Qamarina Salman (kanan) menunjukkan peralatan asas berkebun kepada pelawat yang berkunjung ke ladang UPM baru-baru ini.


HARI ini, pertanian menjadi satu kerjaya yang semakin mendapat perhatian ramai. Ini berdasarkan kepada minat yang ditunjukkan melalui pelbagai program-program pertanian dan ramai yang minat untuk menceburinya sama ada secara serius atau sekadar untuk mengisi masa lapang.

Didorong oleh semangat melihat kejayaan orang lain atau sekadar gemarkan kedamaian dan keindahan alam semula jadi serta minat kepada pemeliharaan haiwan, bidang pertanian seakan satu tarikan baru kepada rakyat di negara ini.

Berkebun, bercucuk tanam dan menternak haiwan peliharaan mungkin agak merumitkan bagi sesetengah orang, tetapi sebahagian besar pula melihatnya sebagai aktiviti masa senggang yang menyeronokkan.

Apa jua faktor dan alasannya, pertanian sebenarnya menjanjikan pulangan lumayan setelah mengharungi satu tempoh kepayahan dan bidang ini juga menjanjikan suatu kepuasan.

Disebabkan itu sejak kebelakangan ini, banyak teknologi baru dan inovasi yang dihasilkan bagi memberi suntikan baru dalam sektor pertanian ini untuk terus maju seiring dengan negara-negara maju yang lain.

Perkembangan sektor pertanian kini boleh dilihat sebagai satu sinar baru kepada pekerjaan tradisi manusia sejak permulaan tamadun mereka lagi.

Perkembangan-perkembangan itu mencetuskan idea dan inisiatif kepada pereka cipta untuk menghasilkan inovasi daripada yang paling rumit kepada yang paling mudah dan canggih.

Sebatang cangkul direka dan dihasilkan kerana manusia perlu membajak tanah dan kini kerja-kerja tersebut disempurnakan oleh jentera yang lengkap dan menjimatkan masa.

Demikian peralatan pertanian lain dicipta dan dihasilkan bagi memenuhi permintaan aktiviti pertanian.

Berbeza pula dengan inisiatif oleh sekumpulan kakitangan Universiti Putra Malaysia (UPM) yang telah mewujudkan satu inovasi baru dengan mengumpulkan lapan peralatan pertanian asas dalam satu beg untuk dipakejkan sebagai satu gajet pertanian.

Inovasi tersebut merupakan ilham daripada sekumpulan petugas di Taman Pertanian Universiti (TPU) yang diminta untuk memikirkan satu idea menyelesaikan masalah membawa peralatan pertanian ke ladang.

Kumpulan tersebut yang dinamakan kumpulan Malaxis dibentuk pada tahun 2009 hasil didikan daripada kumpulan inovasi dan kreatif yang telah mengadakan sesi lampas minda bagaimana menghasilkan sesuatu yang inovatif dan kreatif.

Kumpulan tersebut terdiri daripada lapan ahli yang mempunyai pelbagai kepakaran terdiri daripada Kamarul Zaidi Abd. Ghani yang juga ketua unit buah-buahan di TPU, Hasnul Hadi Hussain (penyelaras agroteknologi) dan Nur Qamarina Salman (Penyelia Landskap dan Orkid).

Ahli kumpulan lain termasuk Nor Haimanshah Ismail (Penyelia Semaian Buah-buahan), Ahmad Rodhi Kamaludin (Penyelia Fertigasi), Muhd. Rizal Che Jid (penyelia biji-benih), Mohamad Faiz Mohd. Shapie (penyelia tanaman pelbagai) dan Mohd. Harlizan Mohd. Darus (Penyelaras Tanaman Industri).

Hasnul Hadi yang juga ketua kumpulan berkenaan berkata, cadangan mewujudkan satu kumpulan gajet pertanian asas memberi peluang kepada mereka yang gemarkan bidang pertanian untuk melakukan kerja-kerja tersebut.

"Jika dilihat, set gajet ini mudah dibawa, sama seperti membawa laptop yang dibimbit dalam beg khas dan sesuai bagi mereka yang sukakan gaya kerja yang ringkas," katanya ketika ditemui pada sesi pengenalan dan pelancaran tidak rasmi set Agrokits di Serdang baru-baru ini.

Beliau berkata, idea itu tercetus selepas kumpulannya bercadang untuk menghasilkan inovasi baru bagi membantu mereka yang sukakan pertanian sebagai aktiviti harian.

"Pada sesi tersebut, kami mengenalpasti antara masalah utama dalam penyimpanan dan pengendalian peralatan pertanian ialah kesukaran membawa peralatan yang banyak dan besar dengan menggunakan kereta atau motosikal.

"Ia memerlukan ruang penyimpanan yang luas, terdedah kepada risiko bahaya kecederaan jika berlaku kecuaian sama ada sebelum dan selepas pengendalian peralatan tersebut," ujar beliau.

Kumpulan tersebut, kata beliau kemudiannya menetapkan tujuh peralatan asas yang biasanya digunakan semasa aktiviti amalan ladang terutamanya kepada para pelajar jurusan pertanian dan ia boleh juga digunakan kepada mereka yang gemarkan aktiviti berkebun.

Peralatan tersebut ialah cangkul, pisau cantuman, serampang tangan, hand trowel, pencakar, gunting pangkasan dan L&key.

Sebuah beg bersaiz sebesar beg laptop direka khas untuk menyimpan peralatan tersebut supaya gajet pertanian itu mudah disimpan dan dibawa untuk berkebun.

Uniknya batang cangkul yang diperbuat daripada aluminium itu mempunyai keistimewaan tersendiri di mana ia tahan karat, ringan dan mudah untuk dibersihkan selepas aktiviti berkebun.

Batang cangkul ini juga boleh diselaraskan mengikut keselesaan pengguna ia bersama mata cangkul boleh ditanggalkan.

Nur Qamarina yang merupakan Setiausaha Kumpulan berkata, pihak mereka juga sedang menyiapkan satu manual penggunaan alat berkenaan yang boleh dijadikan sebagai panduan kepada pengguna.

"Kami berharap idea seringkas ini dapat membantu pengguna menggunakannya serta mudah untuk dibawa berkebun di mana saja," ujarnya.

Beliau juga berharap pencinta - pencinta pertanian dapat memanfaatkannya dengan adanya peralatan seperti ini dan ia akan memudahkan aktiviti berkebun di samping memudahkan lagi proses pembelajaran dalam jurusan pertanian untuk melakukan aktiviti amalan ladang.

Set Agrokits telah dipatenkan pada tahun 2009 dan masih dalam proses mencari pengusaha yang mahu mengeluarkan produk itu secara komersial.

Cetusan idea Agrokits membawa lembaran baru kepada TPU yang aktif dalam pengeluaran anak pokok buah-buahan dan aktiviti amalan ladang kepada pelajar-pelajar UPM terutamanya bagi pelajar jurusan pertanian.

Cara sesuai tanam bayam

Posted: 15 Aug 2011 11:17 PM PDT


Bayam antara sayur yang popular ditanam kerana ia mempunyai banyak khasiat pemakanan.


TERDAPAT beberapa jenis bayam di negara kita. Antaranya ialah bayam hijau (Amaranthus spp.), bayam merah (Amaranthus gangeticus) dan bayam tricolor (Amaranthus tricolor). Semua bayam ini tergolong dalam keluarga Amaranthaceae dan berasal dari Amerika.

Bayam spinach (Spinacia oleraceae) pula mengandungi gen,fizikal dan rasa yang berbeza walaupun berasal dari keluarga yang sama.

Bayam spinach tidak sesuai ditanam di negara beriklim tropika seperti Malaysia kerana ia cepat berbunga dan tidak banyak daun.

Bayam kaya dengan vitamin A, C dan E, fosforus, zat besi, kalium, magnesium, beta karoten dan zink.

Selain itu, bayam juga merupakan sumber baik asid berlemak omega 3, niasin dan selenium.

Bayam juga dipercayai memberi khasiat kepada kanak-kanak, ibu yang menyusu dan pesakit yang mengidap demam panas, kurang darah, mengalami pendarahan dan mereka yang menghadapi masalah ginjal.

Bayam tua yang direbus dan diminum dapat membaiki kualiti penglihatan dan memperkuatkan fungsi hati.

Penanaman

*Bayam sesuai ditanam pada pelbagai jenis tanah terutama tanah gembur liat ringan dan tanah liat berpasir. Tanah yang kaya dengan bahan organik, mempunyai saliran yang baik dan mempunyai pH di antara 5.5 dan 6.5 adalah yang paling sesuai.

*Sediakan batas berukuran satu meter (lebar) dan panjang bergantung pada kawasan.

Tanah digembur bersama kompos dan bahan organik. Sebanyak empat alur boleh dibuat dengan jarak tanaman 20 sentimeter (sm) antara alur.

*Bayam ditanam terus menggunakan biji benih. Disebabkan biji benih terlalu kecil, gaulkan biji benih dengan pasir untuk menjarakkan biji benih semasa menabur benih di dalam alur batas.

*Tutup batas yang terdedah dengan jerami padi atau daun kering sebagai sungkupan untuk kekalkan kelembapan tanah dan mengawal rumpai.

*Selepas tiga atau empat hari, benih akan bercambah dan anak pokok akan mula kelihatan.

Penjarangan

*Penjarangan perlu dibuat selepas seminggu biji benih bercambah. Anak benih yang tumbuh terlalu rapat perlu dibuang atau dipindahkan ke alur yang tiada anak benih.

nAktiviti perlu dilakukan dengan hati-hati untuk mengelakkan kecederaan akar anak benih yang terlalu lembut.

*Penjarangan penting bagi mengurangkan persaingan mendapatkan cahaya matahari dan nutrien antara pokok. Jika anak pokok terlalu banyak, pokok yang tumbuh akan bersaiz kecil dan kurang daun.

Pengairan

*Bayam perlu disiram dua kali sehari pagi dan petang kecuali hari hujan dengan air bersih tanpa klorin.

*Pengairan boleh dilakukan dengan dua cara iaitu siram manual atau dengan sistem pengairan renjis bergantung kepada kemampuan petani.

Pembajaan

*Pembajaan menggunakan baja organik (yang dibeli atau buatan sendiri). Baja organik berproses diberi mengikut kadar yang disyorkan, biasanya antara 30g dan 50g sepokok dan ditabur pada minggu kedua selepas menanam.

Jika baja organik buatan sendiri, baja boleh disembur seminggu sekali.

*Sebelum membaja rumpai yang tumbuh dibuang terlebih dahulu dan tanah digembur.

*Baja organik boleh ditabur di antara alur tanaman.

Kawalan rumpai

*Rumpai adalah musuh utama tanaman. Ia akan bersaing untuk mendapatkan ruang, cahaya matahari dan juga makanan. Selain itu, rumpai boleh menjadi perumah kepada serangga perosak.

*Rumpai perlu dikawal setiap seminggu sekali. Jangan biarkan rumpai hingga ia berbunga.

*Ia boleh dilakukan sama ada merumpai secara manual atau menggunakan mesin pemotong rumput.

Kawalan perosak dan penyakit

*Ulat ratus sering memakan daun muda bayam. Amalkan menyembur racun organik daripada campuran cili padi, bawang putih, daun naem, daun kesum, serai wangi, kemangi, air dan sabun. Sembur setiap hari bagi serangan kritikal, dan dua atau tiga hari sekali bagi serangan biasa.

*Penyakit hawar melecuh pula sering ditemui pada bayam jenis berdaun bulat, tetapi bayam berdaun bujur lebih toleran dengan penyakit ini. Amalkan tanaman bergilir sebagai kawalan.

Hidup tidak selesa akibat ekzema keradangan kulit

Posted: 15 Aug 2011 11:16 PM PDT


UJIAN Skin Patch Test digunakan untuk menentukan penyebab ekzema seperti alahan kepada minyak wangi dan bahan harian yang digunakan.


Bila bercerita tentang ekzema, ramai yang gerun melihat tanda-tanda yang dialami oleh pesakit itu. Malah ada yang tidak sanggup melihat keadaan pesakit apatah lagi jika yang menanggung kesakitan itu adalah si kecil.

Biarpun ekzema tidak berbahaya dan jarang sekali mengancam nyawa namun kehadiran penyakit itu pastinya membuatkan si pesakit tidak selesa dan menggusarkan kehidupan seharian mereka.

Bagaimanapun, ramai yang terkeliru antara simptom-simptom ekzema dan juga jangkitan kuman lain termasuklah kurap. Ini diakui Pakar Runding Sakit Kulit, Dr. Mohd. Noh Idris ketika ditemui, baru-baru ini.

"Ramai yang terkeliru dengan membuat andaian bahawa kesan-kesan gatal serta ruam yang dialami adalah berpunca daripada jangkitan kurap,'' ujarnya.

Jelas beliau, ekzema merupakan salah satu bentuk keradangan yang menyebabkan kulit pesakit menjadi sensitif dan menyebabkan kegatalan serius.

"Keadaan itu biasanya berbeza dengan simptom kurap,'' ujarnya yang berpengalaman lebih 27 tahun dalam bidang perubatan kulit.

Katanya, kulit yang mengalami atopik ekzema biasanya menjadi sangat kering disebabkan kehilangan terlalu banyak kelembapan, bagaimanapun ia boleh diuruskan dengan pelbagai rawatan termasuk menggunakan pelembap untuk kulit kering.

Tegas beliau lagi, kulit pesakit ekzema bukan sahaja menjadi kemerah-merahan, tetapi juga bersisik, keras dan tebal. Terutama di bahagian tangan dan kulit yang berlipat misalnya pada bahagian siku dan lutut.

Malah kulit juga mungkin menjadi keras dan melecet atau bernanah akibat jangkitan bakteria

Beliau berkata, ujian kulit perlu dilakukan untuk menentukan sama ada seseorang itu benar-benar menghidap ekzema atau kulat

"Biasanya kita akan mengikis kupingan-kupingan kudis tersebut dan melihat dalam mikroskop untuk melihat kulat. Jika tidak ada kulat ianya adalah ekzema. Biasanya ekzema mudah dikenal pasti dengan melihatnya menerusi mata yang terlatih.

Selain itu ujarnya, terdapat juga ujian lain yang digunakan kepada pesakit untuk menentukan penyebab ekzema.

Ujian tersebut dinamakan Skin Patch Test untuk menentukan penyebab ekzema. Iaitu seperti alahan kepada minyak wangi dan bahan harian yang digunakan.

"Kebiasaan doktor pakar penyakit kulit akan menampal bahan ujian ini dibelakang badan dan membaca keputusannya dalam tempoh dua ke empat hari. Ujian ini dibuat ke atas orang dewasa yang mempunyai ekzema.

''Untuk kanak kanak kita gunakan ujian darah untuk menentukan penyebabnya.

" Walaubagaimanapun faktor keturunan memainkan peranan penting dalam menentukan seseorang itu mendapat ekzema," katanya.

Ditanya rawatan sesuai untuk penghidap ekzema, beliau berkata, rawatan asas ialah dengan memberi kelembapan pada kulit seperti menyapu pelembap.

Manakala rawatan menggunakan ubat-ubatan kimia pula bergantung kepada fasa penyakit tersebut.

"Sekiranya agak serius, krim sapu yang mengandungi steroid boleh digunakan, krim ini boleh memberi kelegaan akibat ekzema tersebut.

''Selain itu, keprihatinan ibu bapa juga terhadap anak-anak adalah penting dalam memastikan pemakaian ubat yang diberikan oleh doktor," jelasnya.

Ketika ditanya adakah penyakit ekzema ini boleh sembuh sepenuhnya apabila kanak-kanak membesar, beliau menjelaskan ia bergantung kepada jenis ekzema berkenaan.

"Ada ekzema yang hilang ketika kanak-kanak berusia satu hingga dua tahun, ada juga yang hilang ketika usia mencecah 14 tahun dan bagi kes yang lebih teruk, ia berlanjutan hingga dewasa" katanya.

Apa pun, berikut beberapa langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah ekzema:

  • Bawa anak berjumpa doktor
  • Pastikan mereka mandi dengan sabun khas yang berkelembapan tinggi tanpa bahan kimia yang mengeringkan kulit.
  • Sapu pelembap di seluruh badan selepas mandi.
  • Pakai pakaian yang nipis dan diperbuat daripada fabrik kapas.
  • Pastikan persekitaran ruma bersih dan bebas dari habuk dan kotoran.
  • Jika anak berpeluh ambil kain basah dan lap di tempat yang berpeluh.
  • Rawatan eksklusif tabib Cina

    Posted: 15 Aug 2011 11:14 PM PDT


    Pengamal perubatan Jia Hui Feng, memeriksa nadi untuk mengenal pasti penyakit dan ketidakseimbangan yang berlaku dalam tubuh pesakit.


    KEBERKESANAN perubatan tradisional Cina sememangnya telah diperakui sejak berkurun lamanya. Sehingga kini, biar pun begitu banyak rawatan moden yang ada, masih ramai yang mencari Tabib Cina untuk memulihkan penyakit yang mereka hadapi.

    Selain bertujuan merawat, perubatan jenis ini juga dipercayai merupakan amalan yang baik sebagai langkah preventif dalam usaha mencapai kesejahteraan hidup.

    Pusat Perubatan Komplimentari dan Tradisional Cina (TCM) yang terletak di Hotel Wellness Mines mungkin antara lokasi sesuai buat mereka yang ingin mencuba perubatan berusia 5,000 tahun itu.

    Menawarkan sebuah tempat rawatan alternatif dalam suasana eksklusif pertama di Malaysia, ia memiliki 18 buah bilik bilik terapi untuk individu dan pasangan, bilik pengamal perubatan Cina, kaunter herba, farmasi, lounge bacaan, bilik VIP dan galeri. Secara keseluruhannya, boleh dikatakan ia bukan sahaja sesuai untuk mereka yang ingin mendapatkan rawatan, malah boleh dijadikan pusat terapi di bawah satu bumbung bagi keselesaan pengunjung.

    "TCM diasaskan oleh Tan Sri Lee Kim Yew sejak 2008 lagi. Kami mempunyai empat pengamal perubatan bertauliah yang mana tiga daripadanya didatangkan khas dari China," kata Timbalan Pengurus Besar Golden Horses Health Sanctuary (GHHS), Tay Chee Kim.

    GHHS merupakan bahagian yang menguruskan perkhidmatan kesihatan di bawah syarikat tersenarai di bursa, Country Heights Holding Berhad.

    Menjelaskan lebih lanjut kata beliau, perubatan tradisional Cina percaya kepada konsep keseimbangan dan keharmonian tenaga Yin dan Yang, yang berfungsi secara holistik merangkumi tubuh badan, semangat dan rohani. Perubatan jenis itu juga katanya mengaitkan lima elemen alam iaitu tanah, api, air, angin dan besi dengan lima sistem organ utama tubuh.

    Seandainya kesemua keseimbangan ini dicapai, seseorang itu mampu hidup secara sihat dan sejahtera untuk tempoh lebih lama.

    Terapi

    Menurut Chee Kim, bukan sahaja untuk mereka yang berpenyakit, kebanyakan terapi alternatif yang ditawarkan di TCM sebenarnya sangat bermanfaat dalam usaha pencegahan penyakit ke arah hidup yang lebih sihat.

    Bagi pengunjung yang ingin mendapatkan perubatan tradisional Cina secara terperinci katanya, mereka akan dibawa bertemu pengamal perubatan untuk diagnosis dengan cara pembacaan nadi.

    Melalui pembacaan nadi, sebarang keganjilan dan ketidakseimbangan yang berlaku pada seluruh tubuh dapat dikenalpasti.

    "Biasanya, sesuatu penyakit itu mengambil tempoh 10 tahun untuk berkembang. Jadi dengan analisis awal, sekurang-kurangnya kita dapat elak melalui preskripsi yang diberi oleh pengamal perubatan Cina," katanya.

    Menurutnya, setiap rawatan yang diberi kepada pesakit berbeza bergantung kepada keadaan mereka. Jika individu itu didiagnos berpenyakit, dia akan diberi ubat herba dan disyorkan menjalani terapi tertentu yang berfungsi membuka kembali sekatan terhadap 'qi' (tenaga) dan mengembalikan kesihatan seperti sedia kala.

    Antara perkhidmatan yang disediakan mendapat sambutan ramai di TCM adalah rawatan akupuntur tradisional Cina yang dilakukan oleh pengamal berpengalaman dari Beijing, Jia Hui Feng.

    Selain itu penjagaan kiropraktik dan moxibustion (pengasapan menggunakan herba) turut mendapat sentuhan pakar Huing Yi yang juga didatangkan khas dari negara itu.

    Pengunjung juga boleh mencuba terapi badan Tui-Na, refleksologi dan juga rendaman kaki herba.

    Lain-lain rawatan alternatif yang ditawarkan adalah Ba Guan (bekam menggunakan cawan kaca), Gua Sha (terapi gores) dan juga kaedah Qiaodanjing yang merangsang penyerapan nutrien, memperbaiki jus hempedu serta penghasilan darah dalam badan. Terdapat juga kelas senaman QiGong yang menghimpunkan sains dan seni penggunaan teknik bernafas, pergerakan lembut dan meditasi untuk mencuci, menguat serta melancarkan 'qi.'

    Kata Chee Kim lagi, kesemua rawatan yang dijalankan masih mengekalkan kaedah tradisional termasuk akupuntur menggunakan jarum konvensional dan bekam dengan cawan yang dipanaskan.

    Selain untuk kesejahteraan dan perubatan, TCM turut menawarkan program pengurusan berat badan yang menawarkan pakej istimewa termasuk penginapan selama lima hari empat malam di Hotel Wellness Mines.

    Program ini bukan sahaja bertujuan mendapatkan berat badan yang ideal malah ia juga baik untuk awet muda kerana merangkumi rawatan akupuntur, pengambilan sup sayur organik yang bernutrien tinggi dan juga beberapa rawatan terapi semula jadi bagi membuang toksin dari dalam badan.

    Pastinya mengunjungi TCM mampu memberi rawatan yang sesuai untuk anda kerana ia disediakan berdasarkan keperluan tubuh individu melalui diagnosis yang dilakukan.

    Pigmentasi tidak boleh dirawat

    Posted: 15 Aug 2011 11:12 PM PDT


    Pakai topi dan krim pelindung matahari terutama jika melakukan aktiviti di pantai.


    MEMBACA tajuk ini pasti membuatkan pembaca keliru kerana begitu banyak rawatan terkini yang menjanjikan masalah kulit yang satu ini mampu diatasi.

    "Sebenarnya ia tidak boleh dirawat walaupun secanggih mana teknologi yang digunakan. Pigmentasi hanya boleh dikurangkan atau dihalang kemunculannya," kata Pakar Kulit, Dr. Koh Chuan Keng dalam satu sesi temu bual anjuran produk penjagaan kulit, Bio-Oil baru-baru ini.

    Mengulas lanjut mengenai pigmentasi, Dr. Koh yang juga merupakan Presiden Persatuan Dermatologi Malaysia berkata, ia terbentuk akibat aktiviti melasma berpunca daripada tindakan hormon yang merangsang sel melanin pada kulit. Selain hormon, faktor genetik juga mempengaruhi masalah itu.

    Menurutnya, 90 peratus wanita memiliki melasma dan pigmentasi mungkin berwarna sedikit cerah pada awalnya namun ia bertukar menjadi lebih gelap sejajar dengan pertambahan usia.

    Tambahnya lagi, lelaki kurang terdedah kepada masalah pigmentasi kerana hormon.

    "Wanita mempunyai estrogen semulajadi yang meningkat ketika mengandung dan terdedah kepada matahari. begitu juga wanita yang mengambil pil kontraseptif mengandungi estrogen menyebabkan mereka terdedah kepada masalah pigmentasi," katanya.

    Selepas bersalin, melasma akan hilang (dengan penyusuan badan yang berterusan), namun kadangkala ia kekal pada kulit. Sesetengah wanita mendapati masalah pigmentasi menjadi lebih serius selepas mengandung.

    Pancaran matahari yang mengandungi ultra ungu kata Dr. Koh membuatkan pigmentasi semakin teruk. Wanita Asia, katanya terutama di negara dengan cuaca tropika lebih terdedah kepada jeragat berbanding wanita Barat.

    "Namun mereka yang berkulit gelap seperti di negara Afrika tidak terdedah kepada masalah ini kerana kulit tiada melasma," katanya.

    Jelas beliau, sebenarnya masalah pigmentasi sudah bermula sejak dari kanak-kanak lagi namun ia terbina di bahagian dalam kulit. Seandainya individu tersebut menghabiskan masa remaja dengan banyak berjemur di bawah pancaran matahari, maka ia membuatkan melasma bertambah aktif dan pigmentasi akan muncul seawal usia itu.

    Lebih mengecewakan, ia tidak terbentuk secara sekata. Sebaliknya bertompok-tompok pada bahagian tertentu terutama di bahagian dahi, atas pipi, hidung, atas bibir atau dagu.

    Kebiasaannya masalah pigmentasi berlaku pada seseorang sekitar usia 30 hingga 45 tahun.

    Anda tidak boleh mengawal paras hormon ketika ini kata Dr. Koh, namun anda boleh melindungi daripada pancaran cahaya ultra ungu sekaligus mengurangkan kemunculan pigmentasi dengan cara mengurangkan aktiviti di luar dan juga pemakaian bahan yang mampu melindungi daripada sinarannya.

    Pendedahan terhadap ultra ungu bukan sahaja menggalakkan pembentukan pigmentasi, malah ia juga boleh mengundang kepada kanser kulit. Namun keadaan itu mengambil tempoh yang agak panjang.

    Satu lagi perkara yang mengelirukan pelanggan kata Dr. Koh, rawatan laser sebenarnya tidak berkesan mengatasi masalah pigmentasi. Malah keberkesanannya kadangkala jauh lebih rendah berbanding krim pencerah.

    Elak pigmentasi dengan cara:

    1. Sapu krim atau losyen pelindung yang mempunyai SPF (sunblocks) yang mengandungi UVB (menghalang punca pigmentasi) dan UVA. Ramai masih keliru dengan cara krim pelindung bertindak. Anda sepatutnya menyapu krim setiap tiga jam sekali seandainya terdedah kepada pancaran matahari kerana ia mudah diserap oleh kulit. Kadar SPF paling tinggi hanya sehingga 50. Mereka yang berkulit lebih cerah patut memilih krim dengan SPF lebih tinggi.

    2. Penggunaan krim mengandungi hidrokuinon boleh membantu namun ia perlu di bawah pengawasan dan bukannya produk yang boleh dibeli di kaunter.

    3. Pakai topi dan pakaian bertutup sekiranya perlu berada di bawah pancaran terik matahari.

    Mengenai Bio-Oil

    Bio-Oil adalah minyak penjagaan kulit yang membantu menangani kemunculan parut, regangan dan warna kulit yang tidak sekata. Ia juga berkesan untuk menghalang kulit menjadi kering dan kedut akibat pertambahan usia.

    Bio-Oil memenangi pelbagai anugerah dan merupakan produk ulung penjagaan kulit meregang dan parut di 11 buah negara sejak ia diperkenalkan pada 2002.

    Dua das tembakan 'kebalkan' Weai Leoong

    Posted: 15 Aug 2011 11:11 PM PDT


    Ang Weai Leoong menunjukkan kesan parut kekal pada kaki kirinya akibat ditembak ketika bertugas dua tahun lalu.


    Hari Rabu, 4 November 2009, hampir menjengah pukul 3 pagi dan Inspektor Ang Weai Leoong, bersama enam anggota lain dari Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur sedang bersiap sedia untuk menggempur satu kumpulan samun kereta mewah yang dikenali sebagai Geng Ah Took.

    Setibanya di tempat persembunyian geng itu di sebuah kawasan perumahan di Sungai Long, Kajang, pasukan yang diketuai Weai Leoong membuat formasi untuk memerangkap beberapa individu yang dipercayai berada di dalam rumah tersebut.

    Weai Leoong bersama seorang lagi pegawai membuat keputusan memberkas penjenayah yang berdegil tidak mahu keluar dari sebuah bilik di dalam rumah itu.

    Sejurus selepas seorang anggota polis memecahkan pintu, tiga das tembakan dihalakan tepat ke arah Weai Leoong yang ketika itu sedang berada dalam langkah berjaga-jaga.

    Beliau rebah apabila dua dari tiga das tembakan itu mengenai kaki kirinya dari jarak kurang beberapa meter sahaja. Penjenayah yang menembak itu dikenal pasti dalang Geng Ah Took iaitu seorang lelaki dan wanita.

    Namun, sepandai-pandai tupai melompat, kedua-dua mereka yang dilihat bersedia untuk melepaskan beberapa das tembakan lagi telah ditembak mati.

    "Kejadian itu berlaku sepantas kilat dan saya tidak menyangka tembakan itu mengenai kaki kiri saya kerana saya tidak merasa sakit pun tetapi telah rebah ketika itu," katanya yang kini bertugas sebagai Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.

    Peristiwa itu adalah antara kenangan yang tidak dapat dilupakan pegawai berusia 33 tahun itu dalam kerjayanya sebagai anggota polis yang sememangnya penuh cabaran untuk membantu masyarakat.

    Kata Weai Leoong, pasukannya telah merencana operasi itu hampir enam bulan untuk menangkap Geng Ah Took yang telah mengutip keuntungan lebih RM3 juta setelah menyamun lebih 30 kereta mewah sekitar Lembah Klang.

    Bercerita lanjut tentang kejadian itu, anak Butterworth, Pulau Pinang itu memberitahu, dia sememangnya bernasib baik apabila dua tembakan itu tidak menyebabkannya mengalami kecacatan kekal.

    Jelasnya, tembakan yang mengenai kaki kanan tidak sebegitu parah berbanding di kaki kiri namun ia itu tidaklah menjejaskan saraf utama.

    "Kata doktor saya bernasib baik kerana tembakan itu tidak mengenai saraf utama di kaki. Namun kecederaan itu menyebabkan saya berada di hospital selama 10 bulan dan terpaksa menggunakan kerusi roda selama empat bulan.

    "Anda boleh bayangkan betapa peritnya saya ketika itu dan ia bukanlah kerana sakit sebaliknya kerana pergerakan saya terbatas. Maklumlah seorang anggota polis, kita sememangnya sentiasa bergerak ke sana-sini dengan cergas," katanya yang kemudian menyelak kaki seluar untuk menunjukkan kesan parut kekal di kaki kirinya itu.

    Hasil keberanian Weai Leoong dalam membanteras jenayah sehingga hampir mengorbankan nyawanya itu telah mendapat pengiktirafan dan penghormatan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila dia menerima kenaikan pangkat Pemangku Asisten Supritendan Polis serta pingat keberanian daripada Yang di-Pertuan Agong.

    Tambah Wei Leoong, tembakan yang mengenai kakinya itu adalah pengalaman paling perit pernah ditempuhinya namun ia tidak sekalipun mematahkan semangatnya untuk terus kekal dalam institusi keselamatan negara ini.

    "Tidak sesekali saya berundur kerana dua butir peluru itu, kerana tembakan itu membuatkan saya menjadi kebal untuk meneruskan tugas membanteras jenayah dan membantu masyarakat," ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Balai Polis Petaling, baru-baru ini.

    Mengagumi Lee Chong Wei

    Sebelum kejadian tembakan di Sungai Long itu, Ang Weai Leoong sememangnya aktif dalam sukan badminton apatah lagi setiap malam, selepas habis tugasan di balai, gelanggang badminton pasti menjadi destinasi yang ditujuinya.

    Katanya, sukan itu menjadi hobi beliau kerana ia mampu meningkatkan stamina malah menambah kecerdasan mindanya dalam kerjaya yang penuh tekanan ini.

    "Biasanya saya memperuntukkan sekurang-kurangnya dua jam untuk bermain badminton bersama rakan-rakan dan jika beraksi seolah-olah saya lupakan tekanan kerja buat seketika," ujarnya.

    Namun kini, bapa kepada tiga orang anak itu sukar untuk melakukan demikian kerana tembakan di kedua-dua kakinya itu telah menjejaskan pergerakannya.

    "Saya akui sukar untuk saya melompat untuk memukul bulu tangkis seperti dulu kerana kecederaan yang pernah saya alami ini.

    "Walaupun saya telah sembuh sepenuhnya, namun kesannya tetap ada dan ia boleh dirasai ketika saya bersukan. Tetapi itu tidaklah menghalang saya untuk bermain badminton kerana saya masih beraksi dengan perlahan-lahan," katanya yang mempunyai geng bermain badminton sendiri.

    Tambah suami kepada seorang usahawan muda ini, dia begitu mengagumi pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei.

    Permainan yang konsisten serta disiplin yang tinggi juara All England itu menjadi antara sebab dia teruja untuk berada di hadapan televisyen setiap kali kejohanan melibatkan pemain kebanggaan Malaysia itu.

    "Chong Wei mungkin saya boleh katakan idola kepada saya kerana dia sentiasa berjuang untuk memastikan kemenangan berada di pihaknya dan konsentrasinya di gelanggang sememang mengujakan saya," jelasnya.

    Apa khabar muzik dangdut?

    Posted: 15 Aug 2011 11:10 PM PDT


    PENYANYI Amelina juga pernah dijulang namanya hanya kerana muzik dangdut yang diperjuangkannya.


    PERSOALAN yang wajar ditanya oleh penggemar muzik ketika ini ialah apa khabar muzik dangdut?

    Sama ada disedari atau tidak, muzik berkenaan semakin terpinggir daripada gelanggang industri muzik arus perdana.

    Dangdut yang menurut sejarah muzik dikatakan berasal dari Indonesia juga semakin hari semakin tidak dipedulikan.

    Itu realiti yang dapat dirumuskan mengenai persekitaran di Indonesia hari ini. Amat jarang sekali untuk mendengar lagu genre berkenaan di radio.

    Bahkan, nama-nama besar yang memperjuangkan muzik dangdut juga sudah tidak aktif lagi.

    Kalau sedekad yang lalu, superstar Inul Daratista yang terkenal dengan nyanyian dan geleknya yang penuh erotik dipuja ramai, kini dia sudah semakin sepi daripada arus industri muzik.

    Sebelum Inul muncul sebagai ikon dangdut, penyanyi-penyanyi senior lain yang cukup masyhur ialah Rhoma Irama, Elvy Sukaesih, Camelia Malik dan ramai lagi.

    Ketika era penghibur-penghibur tersebut, dangdut adalah seperti santapan harian masyarakat Indonesia.

    Di mana-mana saja muzik genre itu dengan mudah mendapat perhatian sehinggalah beberapa tahun lalu, ia mula diketepikan oleh stesen-stesen radio.

    Sebetulnya, nasib dangdut di Indonesia hari ini menjadi persoalan yang cukup besar di kalangan penggiat muzik itu kerana ia kini melalui zaman-zaman malap.

    Nasib dan masa depan muzik dangdut di Indonesia turut mendapat perhatian sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan, The Jakarta Post yang mencetuskan persoalan apakah kegemilangannya sudah berakhir.

    Justifikasi pada kesuraman muzik dangdut dapat dilihat menerusi kajian yang dilakukan oleh agensi kaji selidik, AC Nielsen Indonesia pada tahun ini.

    Berdasarkan kaji selidik yang dilakukan, daripada 14 juta pendengar radio di kotaraya Jakarta, hanya 28 peratus saja mendengar muzik dangdut pada suku pertama tahun ini.

    Angka pendengar muzik dangdut menurun kepada 26 peratus pada separuh pertama tahun ini.

    Menurut Hariyo Hadiwaseso dari agensi berkenaan seperti dilaporkan akhbar itu baru-baru ini, populariti muzik dangdut jatuh dengan mendadak bermula tahun 2007.

    Penurunan populariti dangdut disebabkan oleh kemunculan muzik pop Indonesia yang mula mengambil alih kedudukannya.

    Alasan yang dikemukakan itu barangkali ada benarnya kerana sejak kebelakangan ini, gelanggang muzik Indonesia semakin meriah dengan kehadiran artis solo serta kumpulan yang memperjuangkan muzik pop.

    Negara Indonesia yang didiami oleh hampir 240 juta penduduk melahirkan artis baru hampir setiap hari.

    Jika mahu disenaraikan barisan artis baru yang muncul, tentunya halaman ini saja tidak cukup untuk mengumumkannya.

    Dengan ledakan teknologi dan pendedahan anak-anak muda terhadap muzik dunia ia dengan mudah membuatkan dangdut dilupakan.

    Keadaan itu juga menyebabkan stesen-stesen radio di negara ini memilih untuk menyiarkan lagu-lagu yang memiliki elemen baru.

    Sebaliknya, karya-karya yang bersandarkan pada nostalgia lalu sudah tidak memberi erti lagi kerana jumlah yang mendengarnya juga tidak mungkin untuk menarik perhatian para pengiklan.

    Di Malaysia juga, muzik dangdut sudah tidak lagi diperkatakan.

    Pejuang-pejuang muzik dangdut seperti Amelina, Iwan, Mas Idayu, Ifa Raziah, Haiza tentunya juga sudah semakin tawar hati kerana aliran muzik sedemikian bukan lagi diminati ramai.

    Sebaliknya, muzik-muzik yang dipopularkan oleh band-band indie semakin mendominasi pasaran muzik tanah air.

    Diva pujaan Siti Nurhaliza

    Posted: 15 Aug 2011 11:10 PM PDT


    AURA 3 Diva telah menemukan Siti Nurhaliza, Ella dan Ramlah Ram di atas satu pentas.


    SEBELUM berjaya mencapai status sebagai penyanyi nombor satu negara dan menjadi pujaan hati peminatnya, Datuk Siti Nurhaliza juga seperti orang lain - mempunyai penyanyi pujaannya sendiri.

    Daripada ramai penyanyi yang diminatinya, Siti Nurhaliza atau lebih mesra disapa Siti ini mengakui dua penyanyi wanita ini telah memberikan impak yang bukan sedikit dalam hidupnya.

    Seorang daripadanya adalah ratu. Bukan sembarangan ratu tetapi penyanyi yang diangkat sebagai satu-satunya ratu rock negara.

    Seorang lagi pula adalah seorang penghibur yang sememangnya layak digelar diva pop kerana rangkaian lagu-lagunya yang telah meletakkan dirinya sebagai salah seorang penyanyi wanita terbaik negara.

    Siti sendiri tidak segan-silu untuk berkongsi cerita di mana dia telah membesar dengan lagu-lagu mereka sejak dari zaman remaja sehinggakan dia sendiri pernah menanam impian untuk beraksi di sebuah pentas bersama dua diva pujaannya itu.

    Namun, hanya selepas 16 tahun bergelar penyanyi, impian Siti itu akhirnya berjaya direalisasikan oleh Global Station Sdn. Bhd., yang telah menemukan Siti dengan dua diva pujaannya iaitu Ella dan Ramlah Ram.

    Walaupun hanya sebuah program khas yang diterbitkan untuk siaran Aidilfitri nanti, tetapi peluang yang diberikan itu dianggap Siti sebagai sesuatu yang cukup indah untuk dikenang sehingga ke akhir hayatnya.

    "Bukannya saya tidak pernah bertemu dan menyanyi bersama mereka sebelum ini, tetapi ini merupakan program seumpamanya yang telah menyatukan kami bertiga di satu pentas.

    "Tiada perkataan yang dapat saya gambarkan apabila dapat membuat persembahan eksklusif bersama Ella dan Ramlah dalam program seperti ini," ujar Siti dalam satu pertemuan singkat usai rakaman Aura 3 Diva yang berlangsung di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Kelang, Selangor, baru-baru ini.

    Mengulas lanjut tentang Aura 3 Diva, Siti memberitahu dia bersama Global Station telah mengadakan pertemuan dengan Astro untuk menerbitkan sebuah program raya yang menggabungkan tiga penyanyi wanita yang lahir daripada generasi berbeza.

    Selepas berbincang dan menyenaraikan nama-nama yang dilihat layak untuk disatukan dalam program tersebut, akhirnya nama Ella dan Ramlah dipilih berdasarkan pencapaian serta populariti mereka dalam era masing-masing.

    Ternyata Siti begitu teruja apabila diajak bercerita tentang dua penyanyi ternama negara itu yang dilihatnya memiliki keistimewaan tersendiri.

    "Sejak dari zaman remaja, saya memang mengagumi gaya dan cara nyanyian Ella. Hanya dia seorang sahaja yang memiliki personaliti seperti itu sehingga ke hari ini pun, tiada siapa yang dapat menandinginya.

    "Keletah dan gelagat Ella sewaktu beraksi di atas pentas membuktikan dia adalah Ella dan membuatkan ramai yang mengingatinya kerana caranya itu. Seandainya ada yang cuba menirunya, ia akan kelihatan sungguh canggung," ujar juara Bintang HMI 1995 itu yang mengakui begitu menggemari album Ella USA yang diterbitkan pada 1994.

    Begitu juga dengan Ramlah yang pada hemat Siti, memiliki gaya tersendiri sehinggakan tiada siapa yang dapat menggantikan tempatnya.

    Dengan kelebihan yang ada pada dirinya iaitu kekuatan vokal yang sememangnya tiada tandingan itu, kata Siti, ia merupakan aset utama juara Bintang RTM 1985 itu sehingga mampu kekal ke hari ini.

    "Saya cukup menghormati Ella dan Ramlah kerana mereka telah membuktikan bahawa mereka merupakan anak seni sejati sehingga dapat mengekalkan momentum mereka berpuluh-puluh tahun lamanya.

    "Kesabaran dan kesungguhan mereka menjadi kunci kejayaan yang menjadi inspirasi buat saya," kata Siti.

    Iftar Muzik FM dan anak yatim

    Posted: 15 Aug 2011 11:09 PM PDT


    Barisan penyampai Muzik FM saling bekerjasama memastikan stesen radio tersebut terus diminati ramai.


    TIDAK lokek untuk mengeluarkan perbelanjaan besar, radio popular tempatan, Muzik FM sekali lagi bermurah hati menjamu anak-anak yatim sempena mengambil berkat kemuliaan Ramadan kali ini.

    Untuk majlis iftar kedua anjuran stesen radio tersebut tahun ini, anak-anak yatim dari Taman Baiduri, Dengkil, Selangor dijemput dan disajikan dengan juadah enak yang disediakan atas kerjasama Hotel Pearl International.

    Menurut Pengurus Muzik FM, Zainal Abidin Asri Abd. Wahid, penganjuran majlis berbuka itu adalah acara tahunan yang pastinya dilakukan sempena Ramadan.

    "Tahun ini, kami menganjurkannya lebih daripada sekali memandangkan aktiviti kebajikan ini tidak salah jika dilakukan secara kerap.

    "Pada masa yang sama, sebagai salah satu jabatan di bawah Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang merupakan milik kerajaan, setiap penganjuran acara diberi pemarkahan.

    "Jadi, ia menyumbang terhadap petunjuk prestasi utama (KPI) kakitangan RTM yang mengelolakan acara tersebut," katanya sejurus menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim berkenaan.

    Majlis yang dinamakan sebagai Jom Berbuka Puasa itu dikelolakan oleh Penerbit Program, Masnah Abdul yang suatu ketika dahulu merupakan seorang deejay.

    Dalam pada itu, Zainal menambah, acara itu juga merapatkan silaturrahim antara barisan penyampai Muzik FM dengan peminat mereka apabila 10 pendengar bertuah turut diundang ke majlis tersebut.

    "Boleh dikatakan, hampir setiap acara yang dianjurkan, kami pastikan para pendengar juga dijemput untuk memeriahkan majlis selain sebagai simbolik penghargaan terhadap mereka.

    "Selain beramah mesra dengan para deejay, secara tidak langsung peminat juga berpeluang berkongsi kisah dengan anak-anak yatim itu," tambah Zainal.

    Sementara itu, di samping meraikan tetamu dengan jamuan berbuka yang pelbagai jenis, majlis tersebut juga dihiburkan oleh beberapa penyanyi seperti Awi Rafael, Adzrin Adzhar, Iqa Mentor dan Keena Mentor.

    Manakala barisan penyampai yang hadir ialah Muaz, Odey Petra, Azura, K-Roll, Noel, Zima, Chenta dan Azaril.

    David nafi pinggir media massa

    Posted: 15 Aug 2011 11:07 PM PDT


    DAVID Teo (depan, kiri) bersama para karyawan filem Kongsi yang mendapat bonus atas kejayaan mengutip kutipan tiket RM8.5 juta pada majlis di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.


    SEJAK menerbitkan filem pertama berjudul Syukur 21 pada tahun 2000, syarikat produksi Metrowealth (MIG) tidak pernah lupa mengadakan pratonton filem-filem mereka kepada pihak media massa sebelum ia ditayangkan di pawagam.

    Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, MIG dikatakan tidak lagi mengadakan majlis tersebut untuk tontonan semua wakil media massa, sebaliknya ia hanya untuk segelintir wartawan sahaja.

    Penerbit MIG, David Teo menafikan dakwaan yang mengatakan dia berkecil hati dengan segelintir wartawan yang sering menghentam filem-filem terbitannya sehingga menyebabkan dia tidak mahu lagi mengadakan majlis seumpama itu.

    "Sebenarnya, saya memang sengaja tidak mahu mengadakan pratonton untuk semua media massa sebagai salah satu strategi baru saya. Sebaliknya, pratonton itu sekarang lebih banyak diadakan secara dalaman sahaja.

    "Contohnya, saya lebih banyak menjemput ahli-ahli Twitter dan di MIG Online di Internet yang melebihi 5,000 orang hadir pada majlis pratonton filem-filem saya. Cara itu bukan sahaja lebih meluas tetapi ia juga menjimatkan masa.

    "Sudah sampailah masanya saya 'keluar daripada kotak' lama. Dalam bidang ini ada banyak strategi yang boleh dilakukan bagi mempromosikan sesebuah filem itu," katanya sewaktu ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

    Pada pertemuan di pejabat MIG di Petaling Jaya, Selangor itu, David menganjurkan majlis berbuka puasa dan Malam Kongsi Rezeki untuk kakitangannya, media massa dan juga para pelakon yang bernaung di bawah MIG Talent.

    Turut diadakan ialah acara pemberian bonus dan duit raya kepada para karyawan filem ke-45 terbitan MIG berjudul Kongsi yang mencatat kutipan tiket RM8.5 juta .

    Penerbit berasal dari Segamat, Johor itu turut tidak menafikan sumbangan media massa yang masih diperlukan dalam memberi promosi terhadap filem-filem terbitannya sebelum ia ditayangkan di pawagam.

    "Bagi saya, bidang kritikan filem tidak akan pupus selagi adanya wartawan. Itu memang kerja mereka (wartawan). Saya juga tidak kecil hati dengan kritikan wartawan terhadap filem-filem terbitan saya selama ini," komennya.

    David turut membuktikan dia pemurah apabila semua karyawan filem Kongsi terbitannya mendapat bonus termasuklah Ustaz Fauzan Abd. Samad yang menerima RM10,000 pada majlis berbuka puasa syarikatnya itu.

    Jelasnya, meskipun Ustaz Fauzan cuma sekadar membaca doa pada majlis kesyukur pelancaran dan tamat penggambaran filem-filem MIG Production tetapi dia juga berhak menerima imbuhan tersebut.

    "Ini bukan kali pertama saya memberi bonus kepada Ustaz Fauzan tetapi tahun lepas saya juga telah memberi bonus RM10,000 kepadanya. Setakat ini sudah ramai ustaz yang saya jemput membacakan doa selamat pada majlis saya.

    "Saya dapati Ustaz Fauzan kelihatan lebih jujur dan ikhlas. Perkara itu saya dapat lihat daripada air muka dan nada suaranya sewaktu membacakan doa. Malah, kebanyakan filem saya yang dia bacakan doa juga untung besar.

    "Saya sudah biasa dengan Ustaz Fauzan dan akan terus bekerjasama dengannya pada masa depan.

    "Bagi saya, orang seperti dia juga amat penting bagi memastikan kejayaan filem-filem terbitan MIG Production pada masa akan datang," ujarnya.

    Selain itu, pengarah Kongsi, Farid Kamil pula menerima wang tunai RM50,000 dan RM50,000 biasiswa melanjutkan pelajaran di luar negara, pelakon Kongsi, Shahiezy Sam (RM60,000) dan Yana Shamsudin (RM10,000).

    Farid Kamil yang berasal dari Kedah berkata, dia terharu dengan sumbangan David itu kerana ia secara tidak langsung akan meningkatkan lagi motivasi kepadanya untuk berkarya dengan lebih kreatif lagi pada masa akan datang.

    "Saya belum memutuskan untuk melanjutkan pengajian di universiti mana. Buat masa ini, saya mahu menyiapkan terlebih dulu filem terbaru arahan saya yang berjudul Cup Prix yang juga diterbitkan oleh MIG Production," katanya.

    Selain itu, David turut menghulurkan sumbangan kepada anak-anak yatim dari Rumah Nur Hikmah, Rumah Anak Yatim Syifa, Pusat Jagaan dan Asuhan Raudhatul Ikhwan, Persatuan Kebajikan Al-Munirah dan Darul Kifayah.

    Tidak ketinggalan sumbangan berupa wang tunai RM1,000 setiap satu kepada enam persatuan artis termasuklah Persatuan Seniman Malaysia, Persatuan Karyawan Malaysia dan Persatuan Sutradara Malaysia.

    Pakej lengkap Ustazah Pilihan

    Posted: 15 Aug 2011 11:05 PM PDT


    HEBAT... Izelan Basar (tengah) bersama tenaga pengajar Ustazah Pilihan iaitu (dari kiri) Ustazah Zawiah Hassan, Dr. Muhaya Hamad, Dr. Robiah K. Hamzah dan Siti Rohani Surani pada majlis pengumuman di Kuala Lumpur, baru-baru ini.


    SELEPAS kejayaan program realiti Imam Muda mencetuskan fenomena yang berjaya mengubah landskap industri penyiaran negara, Astro kini bersedia untuk mengulangi kejayaan serupa.

    Mempertaruhkan Ustazah Pilihan, sesungguhnya Astro menerusi saluran rasmi program tersebut, Astro Oasis meletakkan harapan yang cukup tinggi untuk melihat program itu mencapai sasarannya.

    Namun, untuk menerbitkan sebuah program yang memaparkan pencarian bakat baru pendakwah muslimah itu bukanlah semudah yang disangka.

    Apatah lagi, apabila melibatkan kaum Hawa secara total, pastinya batas-batas agama perlu dipelihara dan dijaga agar tidak mengundang kata-kata kurang manis dan kontroversi apabila ditayangkan nanti.

    Ini sendiri diakui oleh Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar yang menjelaskan pihaknya berdepan dengan cabaran yang bukan calang-calang dalam merealisasikan Ustazah Pilihan.

    "Semua aspek memang diteliti dan diambil kira oleh kami bagi memastikan Ustazah Pilihan tidak tergelincir dari landasannya. Sehinggakan krew penerbitan juga semuanya terdiri daripada kaum wanita.

    "Malah, shot juga kami perlu jaga agar tidak terlalu menampakkan sosok tubuh peserta di kaca televisyen demi menjaga aurat mereka.

    "Bukan itu sahaja, kami juga memastikan untuk peserta yang sudah berkahwin, mereka perlu meminta keizinan daripada suami masing-masing sebelum menyertai program ini.

    "Kami memang cukup sedar cabaran yang harus dipikul sejak dari awal idea ini dicetuskan tetapi, kami tidak mahu melihatnya sebagai kekangan dalam membataskan mutu penerbitan program ini.

    "Apa yang lebih penting buat kami adalah untuk mencari pendakwah muslimah tetapi seorang wanita Islam yang mampu memikul tanggungjawab sebagai pendidik, pembentuk dan pemimpin generasi akan datang selain tugas sebagai seorang isteri serta ibu," jelasnya panjang lebar.

    Beliau berkata demikian pada majlis memperkenalkan tenaga pengajar dan hos Ustazah Pilihan yang berlangsung di Hotel Hilton, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

    Tiga teraju utama yang bakal mengemudikan program ini kelak ialah Dr. Robiah K. Hamzah selaku mudirah serta Dr. Muhaya Hamad dan Ustazah Zawiah Hassan selaku mursyidah.

    Tidak ketinggalan penyampai radio IKIM FM iaitu Siti Rohani Surani yang berjaya menambat hati pihak Astro Oasis untuk dipilih sebagai pengacara Ustazah Pilihan.

    Menyentuh tentang pemilihan mudirah dan mursyidah yang akan menggalas tanggungjawab mereka nanti, Izelan menjelaskan pihaknya telah membuat pilihan yang tepat.

    Malah, dia juga sedar bahawa barangkali masyarakat mahu melihat seseorang yang lebih dikenali menerajui Ustazah Pilihan.

    Tetapi, pihaknya mahu memberi ruang kepada tokoh agama yang lain untuk berkongsi ilmu dan mendidik para peserta Ustazah Pilihan kelak.

    "Mereka sendiri melibatkan diri dari awal dan mengatur serta menyediakan modul pembelajaran. Sesungguhnya saya amat berpuas hati dengan komitmen mereka setakat ini," ujar Izelan yang tidak menafikan mempunyai idea untuk menerbitkan program serupa bagi kanak-kanak pula.

    Mengulas lanjut tentang program yang bakal bersiaran selepas Aidilfitri itu nanti, Izelan memberitahu, dia cukup berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh masyarakat terhadap Ustazah Pilihan.

    Apatah lagi, mereka yang hadir semuanya memiliki latar belakang pengajian yang mengagumkan dalam melayakkan mereka menjadi peserta nanti.

    "Dalam masa yang sama, kami tidak menafikan pakej lengkap itu penting dalam mencari peserta yang lain. Tetapi, keutamaan kami adalah mereka yang mempunyai kualiti tinggi dalam pengetahuan agama," jelas Izelan yang memberitahu pihaknya akan memilih 12 peserta terbaik dalam tempoh seminggu lagi.

    Rentetan daripada kejayaan Imam Muda, Ustazah Pilihan juga menjadi pilihan Bank Islam selaku penaja utama dengan kerjasama Al-Riyadh Travel and Tours.

    Kami adalah pemuzik

    Posted: 15 Aug 2011 11:04 PM PDT



    Rasanya, nama Hujan sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri muzik tempatan kerana hampir semua peringkat umur mengenali kumpulan ini.

    Berbekalkan lagu-lagu hits seperti Pagi Yang Gelap, Bila Aku Sudah Tiada dan Aku Skandal, dengan pantasnya Noh (vokalis), AG Coco (gitar), Ambobzeela (dram), Izat (bass) dan Hang Dimas (keyboard) meraih populariti dan kejayaan.

    Malah, kemunculan mereka juga seolah-olah membuka jalan kumpulan indie yang lain untuk memperkenalkan karya mereka kepada umum.

    Mewakili kumpulannya, Noh bagaimanapun berkata, tidak terdetik di minda mereka pada awalnya untuk meniti populariti seperti dikecap kini.

    "Bagi kami, objektif utama kami hanyalah untuk menghasilkan muzik yang terbaik dan sudah mencukupi jika ada yang sudi mendengarnya.

    "Sepanjang lima tahun perjalanan Hujan, kami tidak diiringi kejayaan semata-mata, tetapi turun naik pasti ada dan kami sentiasa belajar daripada kesilapan," katanya.

    Hujan beruntung kerana sejak awal kehadiran mereka dalam industri seni, mereka sentiasa mendapat sokongan peminat yang diberi gelaran raingers.

    "Tidak kira apa pun berlaku, raingers sentiasa berada di belakang kami memberi semangat dan inspirasi.

    "Sebagai penghargaan, kami akan terus menjadi yang terbaik bagi memuaskan hati mereka yang banyak menyokong," kata suami Mizz Nina ini.



    Album baru tampil berbeza

    Beralih kepada perkembangan terbaru, tidak lengkap sekiranya tidak bercerita mengenai single terbaru mereka berjudul Kotak Hati yang rancak diputarkan di corong radio.

    Lagu berentak balada dengan lirik yang romantis ini menyertai direktori lagu lain dari album ketiga, Lonely Soldier Boy yang berjaya menambat pendengar seperti Inspektor Remos dan Muda.

    Menurut Noh, lagu ciptaannya itu asalnya adalah lagu lama yang dirakam semula dengan gubahan muzik yang lebih segar.

    "Sebelum ini, kami tidak pernah keluarkannya secara rasmi, melainkan versi live yang dinyanyikan semasa persembahan di Planet Hollywood.

    "Istimewanya Kotak Hati versi baru ini kami merakamkannya dengan iringan orkestra dan kami berpendapat ia perlu dikongsi dengan peminat," katanya.

    Kini, setelah hampir setahun Lonely Soldier Boy berada di pasaran, semua anggota Hujan masing-masing sibuk mencari material untuk album terbaru.

    Sesekali, jika ada kesempatan dan waktu, pasti mereka gunakan sebaiknya untuk berkumpul di studio dan berbincang mengenai pemilihan lagu yang sesuai.

    Ia sesuatu yang berbeza buat Hujan, kerana menurut Noh, mereka tidak pernah melakukan perkara sedemikian dalam pembikinan album sebelum ini

    "Kalau dulu, saya cipta lagu dan mereka buat mastering dan kemudian kami terus masuk studio rakam lagu.

    "Kali ini, semua anggota terlibat dan sama-sama memikirkan hala tuju untuk album baru," katanya.

    Menurutnya lagi, setakat ini mereka sudah melakukan susunan muzik dan akan menjalani rakaman tidak lama lagi.

    Masih mahu berahsia tentang susunan muzik yang digunakan, bagaimanapun Noh sempat memberi hint bahawa album baru ini bakal tampil berbeza dengan buah tangan sebelum ini.

    "Saya berani cakap muzik Hujan memang lain dan dapat menjangkakan bahawa pendengar pasti akan berkata Hujan sudah menjadi band lain.

    "Namun, mereka kena terima Hujan adalah pemuzik dan kami akan bermain muzik yang kami selesa dan sesuai dengan keadaan sekarang," jelas Noh tentang rasional mereka membuat perubahan.

    Bukan sekadar transisi hala tuju muzik, malah sebagai vokalis, Noh mengakui dirinya juga perlu menjalani perubahan terutama dari segi teknik nyanyian.

    "Peminat tidak akan mendengar lagi saya menyanyi secara bersahaja kerana saya akan menghadiri kelas bagi meningkatkan mutu vokal.

    "Bukanlah bermakna selama ini saya tidak serius, tetapi saya ingin menjadi lebih baik, apatah lagi saya dikelilingi orang yang sering memberi motivasi seperti Nina dan Izat," katanya.

    Hujan akan adakan persembahan Borneo Tour selepas Aidilfitri.

    Kad raya buat Sharifah Shahira

    Posted: 15 Aug 2011 11:02 PM PDT



    Kemajuan teknologi pada masa kini membuatkan kebanyakan masyarakat lebih senang untuk berhubung melalui Internet seperti laman sosial, e-mel dan sebagainya. Malah, tatkala tiba musim perayaan ucapan juga dibuat melalui saluran Internet.

    Namun, bagi selebriti Sharifah Shahira, nampaknya dia tetap rindukan cara lama dengan berutusan kad raya tatkala tiba lebaran tidak lama lagi.

    Justeru, Shahira secara berseloroh memberi alamat pejabatnya dengan harapan peminat akan menghantar kad raya kepadanya.


    Sumber - http://twitter.com/#!/Shieraijoy

    Permintaan susu meningkat

    Posted: 15 Aug 2011 11:02 PM PDT



    Perkembangan kelas pertengahan, terutamanya di negara-negara di Asia, Afrika dan Amerika Latin, dijangka merangsang permintaan untuk susu dan produk tenusu cecair (LDP) yang lain, sebanyak 30 peratus kepada 350 bilion liter pada 2020 daripada 270 bilion liter tahun lalu.

    Menurut Indeks Tenusu Tetra Pak, permintaan bagi LDP akan meningkat di setiap rantau dalam dunia kecuali Eropah Barat yang merupakan pengguna susu per-kapita tertinggi di dunia.

    Tetra Pak merupakan syarikat pemprosesan dan pembungkusan makanan utama dunia.

    Pengarah Pemasaran dan Pengurusan Produk Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd, John Jose berkata, perkembangan pesat penggunaan tenusu cecair mencerminkan peralihan perkembangan dalam kuasa ekonomi dari Barat ke Timur.

    Menurutnya, kemunculan kelas pertengahan merangsang permintaan untuk produk sihat dan dibungkus di pasar raya dan kedai serbaneka dari Shanghai hingga Mumbai.

    "Secara khususnya, pertumbuhan penduduk yang berterusan di India merupakan pengguna susu terbesar dunia dan peningkatan populariti susu dan LDP di China.

    "Maknanya, menjelang akhir dekad ini, kedua-dua negara itu akan menguasai lebih satu pertiga jumlah penggunaan LDP dunia dengan rantau Asia Pasific menggunakan lebih daripada bahagian lain dalam dunia," katanya.

    Penggunaan LDP Asia Pasifik akan meningkat sebanyak hampir 45 peratus daripada di bawah 140 bilion liter pada 2010 kepada hampir 200 bilion liter menjelang 2020.

    "Malah, jumlah pasaran global Asia Pasifik akan meningkat sekurang-kurangnya lima mata peratusan antara 2010 dan 2020 kepada lebih 55 peratus," katanya.

    Pengurus Pemasaran Tetra Pak (Malaysia), Noer Wellington berkata, penggunaan LDP konsisten di Malaysia, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak tiga peratus mulai 2008 hingga 2010.

    "Faktor utama yang membawa kepada pertumbuhan penggunaan LDP di Malaysia mencerminkan trend global.

    "Tetra Pak meninjau pertumbuhan sama sebanyak dua hingga tiga peratus sehingga 2014 di Malaysia," katanya.

    Wellington berkata, dengan peningkatan urbanisasi dan peningkatan kelas pertengahan, kemudahan menjadi faktor utama bagi pengguna untuk beralih :kepada produk LDP sedia diminum.

    Menurutnya, produk LDP sedia diminum: dipasarkan di Malaysia mencatatkan: CAGR sebanyak tujuh peratus :daripada 2008 hingga 2010.

    "Bagi pasaran Malaysia Tetra Pak mengeluarkan kira-kira 400 juta pek dalam pelbagai saiz dan dijangka berkembang :sebanyak 10 peratus," katanya.

    Maybank lancar khidmat eDividen

    Posted: 15 Aug 2011 11:00 PM PDT



    Maybank berhasrat meningkatkan penguasaan pasaran dalam pembayaran dividen elektroniknya kepada 70 peratus menjelang 2013 berbanding 30 peratus sekarang seiring pengenalan sistem eDividen.

    Sistem baru itu dibina bagi memberi faedah tambahan kepada pelanggan termasuk penjimatan kos lebih besar, kemudahan, keselamatan dan fleksibiliti.

    Timbalan Presiden merangkap Ketua Perbankan Borong Global (GWB) Maybank, Abdul Farid Alias berkata, pelancaran perkhidmatan eDividen dipertingkatkan itu adalah peristiwa penting dalam sistem pengurusan tunai dalam talian Maybank, Maybank2e.net.

    "Perkhidmatan ini menggabungkan pelbagai ciri kelas terbaik termasuk pengeluaran laporan automatik, pemberitahuan e-mel dan SMS serta keperluan: masa tunggu terpendek, dua hari sebelum tarikh pembayaran untuk fail dimuat naik," katanya.

    Hadir sama, Timbalan Pengarah Besar (Operasi) LHDN, Mohd Sait Ahmad; Ketua Pengurusan Kaunter Operasi Pasaran Gedung Bursa, Zailan Azhar Baharin; Pengarah Urusan, Ketua Perbankan Transaksi GWB Maybank, John Wong Tze Yow dan Ketua Pengurusan Tunai Maybank, Loo Eng Hock.

    Abdul Farid berkata, Maybank adalah yang pertama menjalin kerjasama dengan LHDN dalam proses pencukaian dividen automatik, tanpa perlu salinan cetak baucar cukai.

    • Digg
    • Del.icio.us
    • StumbleUpon
    • Reddit
    • RSS

    0 ulasan:

    Catat Ulasan